Jumaat, 30 September 2022

KATAMU, PERJUANGAN!


tentu kau silap saat memberiku api
katamu itulah cahaya membuka
lorong jalan kebenaran
mengajak hati-hati putih ke hadapan
menyonsong panji-panji perjuangan

tentu kau silap saat memberiku mimpi
katamu itulah ruang menterjemah
bayang-bayang masa hadapan
gerbang jaya impian kebahagiaan
jangan henti, katamu lagi, ini perjuangan!

tentu kau silap saat memberiku nafiri
katamu itu suara jati diri
kuasa menenggelam kepalsuan duniawi
berkumpullah sekalian bijaksana
atur gerak semarakkan mara berjuang

telah sekian kali perjuangan dilafazkan
menidakkan hak yang benar
membenarkan batil yang nanar
kebenaran telah tak berharga
menjadi alat-alatan perjuangan buta

tentu kau silap apabila setiap senyap
tak pernah siap dan kata-kata tak pernah lenyap
api, mimpi dan nafiri disaji menggarap malap
perjuangan slogan yang membeku
kering dan layu.

 
Kota Kinabalu

23 Disember 2009

RESAM BANGSA

 

begitulah lazimnya bangsaku
sudah terhantuk barulah terpinga-pinga
melihat kekosongan di hadapan mereka
setelah berlaku dan terangguk-angguk hanya

begitulah biasanya bangsaku
sudah menjadi bubur barulah menyalahi padi
sudah menjadi mayat barulah mencurigai tingkah diri
sudah menjadi abu barulah mempercayai mamahan api

begitulah resamnya bangsaku
dihantuk barulah tahu ada makna hari kelmarin
diketuk barulah faham ada hikmah pengalaman semalam
dilentur barulah tersipu ada malu terpaksa ditelanjangkan

seperti perli orang lama
sudah terhantuk barulah terngadah
seperti masa lalu berupa peristiwa kitar semula
bangsaku gigih menuju maju tetapi teruja juga ujiannya.

Kota Kinabalu
1 Ogos 2009

LELAKI LUKA

 

betapa payahnya meneroka rimba kata. Tapi kau sungguh-sungguh menyuruhku mengutip apa sahaja sedang sikapku memilih-milih jenis akar, pohon dan daun. Aku tak lupa wangiannya bunga-bunga tapi bukan semua semaunya. Katamu kutip sahaja dan simpan di atas rak-rak muzium diri. Ada gunanya, katamu dengan harap yang gelap bagiku. Kau tahu, ketika sesat menerokanya, rimba itu mengajarku

Kota Kinabalu

MEMBENAM BISA


jika inilah ungkapan
bacalah dan dapatkan neraca
siapakah yang berada di antara mangsa
yang berselindung di balik tudung
dan metafora dusta

semua sekali memandang dengan berang
saat kembali memerhati peribadi
bagai cermin yang pecah
apakah lagu tafsir selain pasrah
mencantum kuntum-kuntum bunga?

jalan itu tetap berliku
lorong menyelinap senyap
duri membenam bisanya dan berakar
dengan diam menelan samar
perjuangan.

 

Kota Kinabalu
10 Jun 2008

MENERIMA PERINGATAN

 

kata awan, bersabarlah. akan redup alam biar matahari seterik mana atau setelah dingin oleh hujan. bersabarlah dengan air mata. bersabarlah dengan ujian Tuhan. bersabarlah dengan hikmah yang menimpa. kata awan, kita setelah alpa yang menerima peringatan!

Kota Kinabalu

Khamis, 29 September 2022

HANYA DAMAI

 

telah kulepaskan pandangku kepadamu. bawalah saujana arakanmu ke serata putaran alam. biar burung-burung ikut sama, menyapa sabit bulan atau bintang-bintang indah. bukan wap yang penyebab wujud tangis yang sering diiring gempita membelah apunganmu. hanya damai yang kuharapkan. hanya damai, Tuhan.

Kota Kinabalu

 

 

AWAN-AWAN YANG BERGOMPALAN

 

apabila matahari bangun tempiaskan cahaya paginya, kau akan memandang cahaya yang berlapis di atas awan-awan yang bergompalan di angkasa. bias cahayanya menarik sayu hati akan kebesaran Ilahi, wajah langit bagai sebuah galeri lukisan-lukisan abstrak yang amat bermakna, sebuah terapi yang bererti sekali.

 

kau akan teruja.

 Kota Kinabalu

MENYEMAI RADANG

  

di hadapan rumah kami orang-orang sedang menyemai radang
secara rambang tumbuh kelopak api yang mewarnai ladang
sambil menanti hujan tapi yang gugur embun sesat dari awan

burung-burung telah sepi bernyanyi sebagaimana riuh amfabia
di bendang kering hanya menanti sapa musibah
menatap awan-awam berarak hitam di langit

orang-orang telah hilang kemudi meski terus keras kepala
bahtera mundar mandir di olang aling samudera bangsanya
di mana pelabuhan dalam samar tanpa khabar

kami di dalam rumah menikmati kongkalikong orang-orang
bila lahir zahir yang berjilbab kebenaran bila tereram tenggelam
dalam temaram muslihat kepalsuan.

 
Kota Kinabalu
10 Jun 2008

JATUH DI KOLAM DIAM

 

kau ada dan sentiasa datang
menulis senyapku di dinding perih pedih
tanpa bunyi. kau ada dan sentiasa merasa
jelita di sebalik maka aksara dan kata meski
tanpa suara. kau ada dan sentiasa rahsia
di antara rahsia yang kaubingkaikan di sukma
di antara sejuta satu warna di gudang purba
kau ada dan sentiasa memberiku hiba
menolakku jatuh ke kolam diam
maha dalam.

Kota Kinabalu
10 Jun 2008

NAFAS YANG TAK SETIA

mereka menerima dengan helah dan hela nafas yang tak setia
kepada kehidupan, tak pernah ada nikmat kepada kesyukuran
yang berlimpah murah mengalir, hanya disebabkan musibah
yang tiba-tiba meminda minda sesiapa juga. lihatlah orang-orang
itu telah kembali menerima ajaran masalalu bersatu alasan
yang ditaburkan benih petaka dan baja dusta semakin subur
tumbuh menjalar ke segenap tingkap dan dinding akal, mahal
telah melukakan harga diri melontarkan maruah diadu domba
menjadi canang beradu di halaman sendiri kini semakin mencalar
mencakar-cakar bumi, di mana akumu setiap waktu sepi bahkan
di anjung musalla khuduk menghayat lebur nikmat kalimat khatib
mengaminkan segala kata yang mendekam mengalir ke langit,
di mana sumber segala nikmat ini hadir dan lahir tanpa mensyukuri
ada dari tiada daripada sengketa menjadi raja haloba, dan saat
kembali kau dengarkan momokan orang-orang yang ditinggalkan.

Kota Kinabalu
5 Julai 2008

BILA BERANI BERBOHONG


bukan itu sahaja tetapi berlakon
dilipat kata-kata
disokong disekongkol tolol manusia
hilang punca
berjalan di celah-celah sampah
ulat dan ular melakar perjalanan
semakin sarat kepalsuan

bukan itu sahaja tetapi berlakon
tanpa skrip di pentas kuasa
bersuara dengan siaga
dengan yakin memadam ragu
mematikan raga tanya
saat bahang berkembang
bumi menjadi gersang

bukan itu sahaja tetapi berlakon
kalian tidak tahu
yang menonton telah memahami
sebuah persembahan ini
telah meletakkan masa lalu
menjadi benar
dan masa ini mengukuhkan kepercayaan
menempatkan aib merebah harga diri
demi harga sebuah kuasa
bukan itu sahaja bila berani berbohong
ketika tersingkap sikap
ranap bumbung harap
sirna cahaya percaya
hambar makna benar. 

Kota Kinabalu
6 Mac 2008

Rabu, 28 September 2022

KETIADAAN

  

tidak menyentuh sedikitpun rasa
dunia telah menenggelamkan ramai manusia
menikmati apa sahaja seadanya. mereka tidak lagi
betah berkata sebagai pencaran fikir
dunia juga memungkinkan segala kamar
telah terisi, tanpa langkah lain atau berkesempatan
menjengah jendela yang terkunci rapat.
sambil memerhati kehadiran satu persatu
yang diharapkan hanya ketiadaan juga
menggantikan ayat-ayat yang berkubur

hanya kata-kata menyebati dalam
keperibadian seniman,
selebihnya masa lalu terungkap
bersama irama sunyi.


Kota Kinabalu
6 Mac 2008

ANJING MENYALAK BUKIT

 

ini bicara orang tua kita, yang sia-sia bekerja
bekerja asyik pada bicara teori segala
menyalak sesuka hati tetapi pada bukit yang tidak
memberikan kembali apa-apa

ini bicara ardi orang tua kita untuk semua
untuk bekerja dengan kerja yang benar-benar bekerja
dari otak yang benar-benar otak punya fikiran berguna
guna untuk yang benar-benar diguna

biarkan anjing itu menyalak bukit
mungkin ada hantu di situ, ada kehodohan yang lain
di situ, ada pelbagai barangkali lagi di situ
biarkan anjing itu menyalak bukitnya sendiri
yang dibinanya sendiri menjadi tembok
mengelabukan saraf otaknya mentafsir falsafah

namanya juga anjing yang hanya tahu menyalak
menggigit bahkan tuannya sendiri dimangsainya
menyalaknya anjing itu yang akhirnya dicerca
sebelum dibunuh suara salakannya
bukit itu juga runtuh dan mengubur jenazah suara
anjing yang kini hidup tanpa suara anjingnya!

 

Kota Kinabalu
20 Jun 2008

MEMILIKI KEHILANGAN


(: umi )
 

seperti telah dijelaskan
gumammu telah semakin terang
dalam suatu lahad bungkam.
barangkali benar tentang sesuatu yang bersinar
sentiasa disulami bait-bait duka.
apakah engkau berduka cintaku? ketika genggam
kata-kata telah terbuka dan melepaskan makna
yang semakin tiada, menghilang
meninggalkan suara. di manakah perbualan
yang gigih mengungkapkan bahasa
purnama, cakerawala kehidupan
yang membawa kebenaran dan rahsia
yang kau pancarkan dari matahari hati.
memiliki sesuatu yang hilang dan tiada,
tak mengapa genggaman jemari hanyalah
sejarah yang kumiliki.
jalan ke kota purba telah kaulalui
moga gemamu sebuah masalalu
yang semakin cekal dan mandiri,
sebagaimana telah dijelaskan,
kau gumam dan milikku
hanyalah sebuah kehilangan.


Kota Kinabalu
8 April 2008

BIODATA


HASYUDA ABADI atau nama sebenarnya Sukor bin Haji Usin, anak kedua Haji Usin Ripan dan Hajah Subiah Sidek, lahir di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah pada 1960. Beliau cenderung kepada penulisan puisi di samping cerpen, esei kritikan dan drama.

Hasyuda antara penerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1985, Hadiah Sastera Perdana 2004/2005 dan Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008 dan 2012 bagi genre puisi dan cerpen. Hasyuda merupakan pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Hasyuda juga turut memenangi Hadiah Menulis Cerpen (Juara) dan Puisi (Naib Juara) berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sempena Karnival Kesenian Islam 2011.

Sebanyak 1,000 buah puisi, 40 buah cerpen, 35 buah esei sastera dan 5 buah skrip drama pentas. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (1989), ‘Akar Cahaya’ (1997), ‘Datang Kembali’ (1997), 'Menginai Badai' (2004), 'Sirna Sirna' (2006) dan 'Kembali di Lahad Rahsia' (2008). Cerpen-cerpen Hasyuda dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (2004).

Hasyuda dilantik sebagai salah seorang ahli Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS). Beliau memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) di samping menjadi ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan merupakan Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES).